

PENGHANTARAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE REPUBLIK KESATUAN MYANMAR BERIKUTAN KEJADIAN GEMPA BUMI Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menghantar bantuan kemanusiaan dalam bentuk barangan keperluan asasi ke Republik Kesatuan Myanmar, dengan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) pada 11 April 2025. Penghantaran bantuan kemanusiaan ini adalah berikutan kejadian gempa bumi yang telah melanda Republik Kesatuan Myanmar pada 28 Mac 2025. Acara penyerahan bantuan kemanusiaan telah diadakan di Pangkalan Tentera Udara Rimba pada 11 April 2025, dan dihadiri oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II dan Ms. Khin Sandar, Kuasausaha Sementara di Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Bandar Seri Begawan. Turut hadir ialah para pegawai kanan daripada Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) serta Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Bandar Seri Begawan.
~TAMAT~
|