QAULUHUL-HAQ
ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH
Warkatul ikhlas watuhfatul ajnas iaitu daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kiranya datang Ke Majlis Seri Paduka Anakda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, DK (Johor), DK. (Perak)., DK. (Kelantan), DK. (Perlis), DK. (Selangor), DK. (Negeri Sembilan), DK. (Terengganu) DKMB (Brunei), SPMJ., SSIJ, SPMT., SMN., SPMK., SPMP., PIS., Yang di-Pertuan Agong Malaysia Ke-XVll, yang bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia dengan beberapa kemuliaan dan kesejahteraannya.
Waba'dah, ehwal adalah Paduka Ayahanda, Kerajaan berserta rakyat Negara Brunei Darussalam merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Anakda, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bersempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67.
Paduka Ayahanda bersyukur sejak penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia empat dekad yang lalu, jalinan silaturrahim serta kerjasama dua hala yang erat dan mesra di antara kedua-dua buah negara terus berkembang maju dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, yang mana telah diperkukuhkan lagi semasa Perundingan Tahunan Ketua-Ketua Kerajaan kali ke-25 di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini. Paduka Ayahanda yakin persahabatan yang bermakna ini akan terus dipereratkan lagi dalam sektor-sektor baharu demi kemajuan dan manfaat bersama.
Paduka Ayahanda berserta Paduka Bonda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdo'a Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Seri Paduka Anakda dan Seri Paduka Anakda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta Ahli Kerabat Diraja sentiasa sihat wal'afiat, dan semoga Kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Sekianlah Paduka Ayahanda maklumkan dan Paduka Ayahanda sudahi dengan salam takzim serta do'a yang tiada khali jua adanya.
WASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH
Termaktub di Istana Nurul Iman,
Bandar Seri Begawan,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Pada: 31hb., Ogos, 2024