Daripada: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan, Negara Brunei Darussalam
Kepada: Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, Malaysia
ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH
Beta serta Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam dengan amat sukacita menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri, Kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67.
Beta bersyukur selama 40 tahun penubuhan hubungan diplomatik, Negara Brunei Darussalam dan Malaysia menikmati ikatan persahabatan yang erat melalui pertukaran aktif serta kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama. Hubungan yang bermakna ini juga telah diperluaskan Iagi melalui kesepakatan yang dicapai semasa Perundingan Tahunan Ketua-Ketua Kerajaan kali ke-25 di Negara Brunei Darussalam baru-baru ini. Beta mengalu-alukan lebih banyak peluang untuk mempertingkatkan kerjasama demi kemajuan dan kesejahteraan negara dan rakyat.
Pada kesempatan ini, Beta ingin melahirkan sokongan Negara Brunei Darussalam kepada Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan yakin segala persiapan bagi kepengerusian itu akan berjalan dengan baik dan lancar.
Beta dan Duli Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdoa Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Yang Amat Berhormat Dato' Seri dan Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail sentiasa dikurniakan kesihatan dan kebahagiaan, serta Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus menikmati kemakmuran dan keamanan yang berkekalan.
WASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM