Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Press Room

31 Ogos 2023 - TITAH PERUTUSAN TAHNIAH KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA BERSEMPENA DENGAN ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 66

QAULUHUL-HAQ

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Warkatul ikhlas watuhfatul ajnas iaitu daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni AI-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kiranya datang Ke Majlis Seri Paduka Anakda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DKP., DKM., DK., DMN., SSAP., SIMP., DK(Terengganu), DK(Johor), SPMJ., PAT., DKMB(Brunei), Yang Di-Penuan Agong Malaysia Ke-XVl, yang bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia dengan beberapa kemuliaan dan kesejahteraannya.

Waba'dah, ehwal adalah Paduka Ayahanda, Kerajaan Paduka Ayahanda berserta rakyat Negara Brunei Darussalam dengan amat sukacita menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Anakda, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bersempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-66.

Paduka Ayahanda amat menghargai ikatan silaturrahim yang erat dan mesra di antara kedua-dua buah negara, yang telah diperkukuhkan lagi semasa Lawatan Negara Paduka Ayahanda dan Paduka Bonda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ke Malaysia bersempena Perundingan Tahunan Ketua-Ketua Kerajaan kali ke-24 baru-baru ini. Menjelang ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun hadapan, Paduka Ayahanda percaya kesefahaman di antara kedua-dua buah negara akan terus dipertingkatkan lagi menerusi kerjasama sedia ada, mahupun di bidang-bidang baharu demi kemanfaatan bersama.

Paduka Ayahanda berserta Paduka Bonda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berdo'a Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Seri Paduka Anakda dan Seri Paduka Anakda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Ahli Kerabat Diraja sentiasa sihat wal'afiat, dan semoga Kerajaan serta rakyat Malaysia terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berpanjangan.

Sekianlah Paduka Ayahanda maklumkan dan disudahi dengan salam takzim serta do'a yang tiada khali jua adanya.

Wassalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.



Termaktub di Istana Nurul Iman,
Bandar Seri Begawan,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

Pada 31hb., Ogos, 2023




Attachments
Back to Top