LONDON, UNITED KINGDOM, Khamis, 29 Oktober 2020 – Jawatankuasa Keugamaan Suruhanjaya Tinggi NBD di London, United Kingdom telah mengadakan forum khas sempena Maulidur Rasul S.A.W bagi tahun 1442H. Forum dipengerusikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Muhammad Fahmi bin Haji Abas, Pegawai Ugama di Unit Penuntut-Penuntut bersama dengan dua panel iaitu Yang Mulia Ustaz Mohammad Yussof bin Haji Abdul Majid, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Ustazah Dr. Widad Abdul binti Haji Abdul Aziz, Pensyarah di Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Forum khas yang bertajuk "Menyantuni Sunnah di Perantauan" itu membincangkan mengenai dengan cabaran dan peranan menghidupkan gaya hidup berpandukan sunnah Rasulullah SAW khusus ketika berada diperantauan. Yang Mulia Ustaz Mohammad Yussof telah menekankan tentang pentingnya keimanan seseorang itu dalam menjaga kesihatan mental khusus dikalangan para pelajar dalam menjalani pembelajaran serta kehidupan di negara yang penganut ugama Islamnya adalah minoriti. Manakala Yang Mulia Ustazah Dr. Widad pula mengulas betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam menanam asas yang kuat di kalangan anak-anak agar kehidupan berlandaskan sunnah itu dapat di amalkan walau dimana berada.
Forum berkenaan dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke United Kingdom Laksmana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad bersama kira-kira 60 orang oleh pegawai-pegawai, kakitangan-kakitangan dan para pelajar-pelajar yang berada di United Kingdom dan Negara Brunei Darussalam yang diadakan dengan menggunakan aplikasi Zoom.
Disediakan oleh:
Mohamad Hilman Hj Husain
Sila klik sini untuk galeri.