Pada 20 Februari 2024, Pejabat Kedutaan besar Negara Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir telah mengadakan Majlis Menaikkan Bendera Kebangsaan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam kali ke 40 tahun, bertempat di Bangunan pejabat Kedutaan.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Pg Md Salimin bin Pg Md Daud, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Pegawai-Pegawai Kedutaan Besar dan keluarga, serta wakil pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan surah al fatihah dan doa peliharakan sultan. Ini kemudiannya diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan “Allah Peliharakan Sultan”.
Majlis seterusnya diikuti dengan nyanyian beramai lagu patriotik kebangsaan: Tekad Kemerdekaan dan Berkibarlah Bendera.
Majlis Menaikkan Bendera diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan 40 tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Selain sebagai usaha didalam menanamkan rasa cinta kepada negara disamping menunjukkan semangat patriotism terutama kepada golongan muda.
Majlis diakhiri dengan jamuan ringan.
Terdahulu daripada majlis itu, pejabat Kedutaan telah menerima Tuan Mohamed Reda, wakil daripada Tuan Yang Terutama Presiden Republik Arab Mesir, yang datang ke pejabat Kedutaan bagi mengucapkan tahniah sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.