Pada 28 Februari 2018, Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam bersama ASEAN Ladies Circle (ALC) Brunei, di bawah kelolaan Datin Hjh Mariani bte Hj Bongsu, isteri Pesuruhjaya Tinggi selaku Presiden ALC bagi sesi 2017/2018 telah mengadakan "ALC Brunei Morning Coffee" dan "Brunei Mini Bazaar" bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 tahun, bertempat di Dewan Lela Menchanai, Bangunan Pejabat Suruhanjaya Tinggi, Putrajaya.
Majlis tersebut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datin Sri Siti Rubiah binti Datuk Abdul Samad, isteri Menteri Luar Negeri Malaysia yang juga Penaung ASEAN Ladies Circle selaku Tetamu Kehormat Majlis. Ianya juga turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Datin Sri Ismalina binti Ismail, isteri Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia; ahli-ahli perwakilan ALC Negara ASEAN; Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta Negara ASEAN; Pegawai-Pegawai daripada Perwakilan-Perwakilan Negara ASEAN serta Pegawai-Pegawai Kanan Wisma Putra dan Jabatan Perdana Menteri, Malaysia.
Antara program menarik bagi acara tersebut adalah demonstrasi cara membuat "Ambuyat" yang dipersembahkan oleh Dayang Siti Aqilah Mertadinata, penuntut Negara Brunei Darussalam yang belajar di Malaysia. Selain itu, semasa "Brunei Mini Bazaar" tersebut, barang-barang buatan tempatan telah dipamerkan dan dijual dengan penyertaan daripada beberapa buah syarikat daripada Negara Brunei Darussalam iaitu Baital Hijaab, Shah Indra Songkok, Junjung BN, Batik Desamas, Enya Bijoux, The Greenery & Co dan Al-Gourmet Halal. Terdapat juga jualan "Nasi Katok", Kek "Tapak Kuda" dan terdapat juga barangan antik yang dipamerkan, jualan minyak harum dan Gaharu serta jualan amal.
Sila klik di sini untuk Galeri Gambar