Skip Ribbon Commands
Skip to main content
SharePoint

News Headline

MAJLIS KONVOKESYEN 2022 GRADUAN BRUNEI DARUSSALAM UNIVERSITI AL-AZHAR ASY-SYARIF DAN MA’HAD QIRA’AT AL-AZHAR

Pada 7 September 2022, seramai 30 graduan terdiri daripada pelajar-pelajar Negara Brunei Darussalam (NBD) dari Universiti Al-Azhar dan Ma'had Qira'at Al-Azhar menerima Ijazah Sarjana yang diadakan di Dewan Qasr Al-Amirat, Kaherah, Republik Arab Mesir.

Hadir selaku tetamu kehormat yang juga mengurniakan ijazah tersebut ialah Ra'es Universiti Al-Azhar (Chancellor), Profesor Dr. Salamah Daud.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran secara bertaranum yang dipersembahkan oleh Dayangku Nor Hidayatul Athirah binti Pengiran Haji Mohd. Yusran.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Pengerusi Majlis Konvokesyen, Mohammad Nur Aiman bin Haji Tarip serta ucapan dari Kuasausaha Sementara di Kedutaan Besar NBD di Kaherah, Republik Arab Mesir, Pengiran Ahmad Munir bin Pengiran Haji Nordin.

Dalam ucapan tetamu kehormat, Profesor Dr. Salamah Daud dalam ucapannya berkata bahawa pelajar NBD yang menuntut di Universiti Al-Azhar diibaratkan sebagai duta agama Islam di negara-negara Islam kerana NBD merupakan sebuah negara yang berpegang teguh kepada ajaran Islam bersesuaian dengan nama Darussalam yang dipetik dari ayat Al-Quran iaitu Surah Yunus ayat yang ke-25 bermaksud, "Dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa (Darussalam) dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus".

Beliau seterusnya menambah bahawa disebut Darussalam kerana ia membawa erti terlindung dari segala kehancuran dunia seperti kelalaian, penipuan, khianat dan sebagainya.

Beliau juga berharap agar semua graduan Universiti Al-Azhar akan menjadi contoh dan duta kepada Universiti Al-Azhar di mana saja mereka berada dengan meneruskan risalah 'wasatiyyah' dalam ajaran Islam, walaupun terdapat percanggahan pendapat dalam sesuatu hukum tetapi mestilah berpegang kepada pendapat Ahli Sunnah Waljamaah.

Majlis disempurnakan dengan Doa Penutup yang diketuai oleh Haji Ahmad Nadhrul Haz bin Dr. Haji Abdul Kadir.

 

 


Gambar dari: Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Brunei Darussalam di Mesir​