Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Press Room

31 Ogos 2022 - TITAH PERUTUSAN TAHNIAH KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA BERSEMPENA DENGAN ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 65

QAULUHUL-HAQ

ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH

Warkatul ikhlas watuhfatul ajnas iaitu daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kiranya datang Ke Majlis Seri Paduka Anakda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in
Billah, DKP., DKM., DK., DMN., SSAP., SIMP., DK(Terengganu)., DK(Johor)., SPMJ., PAT., DKMB(Brunei)., Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ke-XVl, yang bersemayam di Istana Negara, Kuala  Lumpur, Malaysia, dengan beberapa kemuliaan dan kesejahteraannya.

Waba'dah, ehwal adalah Paduka Ayahanda, Kerajaan Paduka Ayahanda berserta rakyat Negara Brunei Darussalam merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Anakda, Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65.

Paduka Ayahanda bersyukur dengan silaturrahim dan hubungan kerjasama dua hala yang erat dan mesra di antara kedua-dua buah negara. Paduka Ayahanda yakin ikatan ini akan terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama yang lebih meluas demi manfaat rakyat kedua-dua buah negara.

Bagi mengakhiri warkah Paduka Ayahanda ini, Paduka Ayahanda berserta Paduka Bonda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berdo'a Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar mengurniakan rahmat dan perlindungan-Nya kepada Seri Paduka Anakda dan Seri Paduka Anakda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum
Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Ahli Kerabat Diraja sentiasa sihat wal'afiat, dan semoga Kerajaan serta rakyat Malaysia terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan.

Sekianlah Paduka Ayahanda maklumkan dan disudahi dengan salam takzim serta do'a yang tiada khali jua adanya.

WASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH




Termaktub di Istana Nurul Iman,
Bandar Seri Begawan,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.



Attachments
Back to Top