Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Press Room

Manage PermissionsManage Permissions
31 Ogos 2020 - TITAH PERUTUSAN TAHNIAH KEPADA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA BERSEMPENA DENGAN ULANG TAHUN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 63


QAULUHUL-HAQ


Assalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Warkatul ikhlas watuhfatul ajnas iaitu daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Mudah-mudahan barang diwasalkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kiranya datang Ke Majlis Seri Paduka Anakda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, DKP., DKM., DK., DMN., SSAP., SIMP., DK(Terengganu)., DK(Johor)., SPMJ., PAT., DKMB(Brunei)., Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ke-XVl, yang bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia, dengan beberapa kemuliaan dan kesejahteraannya.

Waba'dah, ehwal adalah Paduka Ayahanda, Kerajaan berserta rakyat Negara Brunei Darussalam dengan amat sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Anakda serta Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia bersempena Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Malaysia yang Ke-63.

Paduka Ayahanda menzahirkan rasa syukur Kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas tali silaturrahim dan hubungan persaudaraan yang erat lagi mesra di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.  Paduka Ayahanda yakin hubungan dua hala yang sudah sekian lama terjalin ini akan terus diperkukuhkan dan dipertingkatkan demi kesejahteraan dan kepentingan rakyat kedua-dua buah negara. 

Bagi mengakhiri warkah Paduka Ayahanda ini, Paduka Ayahanda berserta Paduka Bonda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam berdo'a semoga Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada Seri Paduka Anakda dan Seri Paduka Anakda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj serta Ahli Kerabat Diraja, dan semoga Kerajaan serta rakyat Malaysia akan terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Sekianlah Paduka Ayahanda maklumkan dan disudahi dengan salam takzim serta do'a yang tiada khali jua adanya.


Wassalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh


Termaktub di Istana Nurul Iman,
Bandar Seri Begawan,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM




Attachments
Back to Top