Daripada: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan, Negara Brunei Darussalam
Kepada: Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Joko Widodo, Presiden, Republik Indonesia
Tuan Yang Terutama,
ASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAATUH
Beta dan Kerajaan serta rakyat Negara Brunei Darussalam dengan sukacita mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama dan Kerajaan serta rakyat Republik Indonesia bersempena dengan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-74.
Beta berpuas hati dengan hubungan silaturahim dan persahabatan yang erat lagi mesra yang sekian lama terjalin di antara kedua-dua buah negara dan rakyat kita. Beta yakin hubungan ini akan sentiasa terpelihara dan dipertingkatkan lagi di peringkat dua hala mahupun di peringkat serantau dan antarabangsa demi kepentingan kita bersama.
Beta dan Duli Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha ingin menyampaikan salam sejahtera kepada Tuan Yang Terutama dan Datin Ibu Hajah Iriana dengan iringan do'a semoga Tuan Yang Terutama dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat wal'afiat, dan Negara serta rakyat Republik Indonesia akan terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan yang berkekalan.
WASSALAMU'ALAIKUM WARAHMATULLAAHI WABARAKAATUH
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM