Daripada: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan, Negara Brunei Darussalam
Kepada: Tuan Yang Terutama Dato Laila Utama Joko Widodo, Presiden, Republik Indonesia
Tuan Yang Terutama,
Assalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Beta serta Kerajaan dan rakyat Negara Brunei Darussalam sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah bersempena kemenangan Tuan Yang Terutama dalam Pilihan Raya Presiden Republik Indonesia 2019.
Beta yakin hubungan silaturrahim yang akrab dan kerjasama baik yang sekian lama terjalin di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia akan terus diperkukuhkan dan diperluaskan di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama. Beta juga menghargai usaha-usaha dan sumbangan peribadi Tuan Yang Terutama selama ini dalam memastikan hubungan dua-hala kita akan dipertingkatkan lagi.
Beta berharap Tuan Yang Terutama akan sentiasa memperolehi kejayaan dan seterusnya, Beta mengalu-alukan peluang untuk terus bekerjasama rapat dengan Tuan Yang Terutama di peringkat dua-hala, serantau dan antarabangsa.
Pada mengakhiri, Beta mendo'akan agar Tuan Yang Terutama serta keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, dan rakyat Republik Indonesia terus menikmati keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan. Beta juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri yang mulia kepada Tuan Yang Terutama dan seluruh rakyat Indonesia yang beragama Islam.
Wassalamu 'Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM